Selamat datang


Blog ini adalah ruang untuk penulis berkongsi sebarang maklumat, tips dan info berkenaan topik keibubapaan.

Saat hadirnya janin ke dalam rahim seorang wanita, sehingga lahirnya ke dunia ini bermulalah episod pasangan suami isteri itu sebagai ibu dan bapa.
Dari penjagaan diri dan rohani ketika mengandung dan melahirkan sehinggalah kepada makanan, pakaian serta ilmu yang diberikan ibubapa kepada si anak selepas lahir,
semua itu adalah dari satu ruang lingkup yang sama. Tanggungjawab dari Allah untuk dua insan bertuah yang diberi peluang untuk bergelar ibu dan bapa.

Orang lihat mudah, tapi sebenarnya tidak.
Sering tersungkur dan tersadung.
Rasa kecewa dengan diri.
Namun bangkitlah duhai ibu, sedarlah wahai bapa.
Kerana di mata anak-anak, kita adalah insan terhebat!



-Maisa Ishak-
Didikan Terbaik Bermula Dari Rumah

Monday, January 25, 2016

Pentingkah Merangsang Deria Sentuhan Anak-Anak?

Assalamualaikum

Hari ini, anak keempat saya, Haniy, Alhamdulillah sudah 51 hari. Memandangkan hari ini suami bercuti, saya dapat sedikit masa terluang untuk bermain dengan anak-anak.



Berus ini saya beli memang bertujuan untuk merangsang deria sentuh anak, seperti pesanan Dr Azura ketika di Kursus Keibubapaan Nury yang pernah kami hadiri tahun lepas (2015).

Ketika itu, pengetahuan saya berkenaan kepentingan rangsangan daya sentuhan amat sikit. Hanya asasnya sahaja, ditolak tambah atas faktor otak yang perlu digilap-gilap selalu agar kekal maklumat dalamnya, maka hampir terlupa bahawa topik ini Dr Azura pernah sentuh ketika di kelas dahulu.

Dipendekkan cerita, ketika saya memberus tapak kaki dan tapak tangan kesemua anak-anak saya, reaksi anak ketiga saya Naufal tidak seperti abang dan kakaknya. Naufal tidak geli ketika diberus, hanya gelak kerana seronok melihat abang dan kakaknya ketawa mengekek. Dicuba berkali-kali juga sama, cuma setelah beberapa cubaan dari saya dan suami, kami perasan Naufal hanya geli ketika kami menggunakan jari dan menekan kuat tapak kaki dan tangannya.

Dalam kes ini Haniy tidak boleh dibandingkan kerana deria-deria bayi belum cukup matang dan perlu dirangsang terlebih dahulu

Saya mula pelik dan di fikiran penuh pelbagai persoalan dan pertanyaan. Maka disebabkan itu, artikel ini dihasilkan. Kita perlu memahami apa masalah yang akan anak-anak kita hadapi supaya kita dapat tahu tujuan sebarang aktiviti rangsangan yang akan kita lakukan nanti.

Ini adalah hasil bacaan dan pemahaman saya pada artikel asal di link ini.

Rangsangan terhadap deria sentuhan dinamakan 'tactile stimulation'.
Ketidakupayaan yang berkaitan dengan deria ini dinamakan 'Tactile Dysfunction', yang kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak yang didiagnosis sebagai 'Sensory Processing Disorder (SPD)'.

Apa itu 'Tactile Dysfunction'?
Deria Sentuhan yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Ia boleh jadi terlalu sensitif terhadap sentuhan (hypersensitif) atau kurang sensitif terhadap sentuhan (hyposensitif)

Hypersensitif
-keadaan di mana anak terlalu sensitif terhadap sentuhan, waima dengan sentuhan lembut.

Ciri-ciri kanak-kanak hypersensitif

  • mengelak untuk bersentuhan dengan orang lain (bersalaman, memeluk, mencium)
  • tiada 'eye-contact'. 
  • kadang kala tidak selesa dengan sesetengah jenis pakaian (jeans, topi, baju yang ketat)
  • aktiviti harian seperti menyikat rambut dan menggosok gigi kerana aktiviti ini boleh merangsang hypersensitiviti
  • cerewet dengan makanan tertentu kerana struktur dan rasa yang terdapat pada makanan tersebut.
Hyposensitif- keadaan di mana anak kekurangan sensitiviti terhadap sentuhan.- mereka tidak mampu mengesan situasi yang berbahaya kepada diri mereka.Contohnya: perubahan suhu seperti terlalu sejuk atau terlalu panas, melukakan tangan tanpa rasa sakit.
Ciri-ciri kanak-kanak hyposensitif
  • tingkahlaku yang kasar/ agresif ketika berinteraksi dengan rakan sebaya
  • memeluk dengan kuat
  • menghantuk kepala ke dinding
  • tidak sedar keadaan yang berbahaya kepada diri sendiri

Saya semakin jelas dengan tujuan saya membuat aktiviti ini terhadap bayi saya. Untuk anakanda ketiga, saya masih perlu bacaan lanjut untuk itu. Saya berharap sedikit sebanyak artikel ini dapat membantu ibubapa mengenalpasti masalah anak masing-masing.
Sekiranya tingkahlaku anak anda mempunyai ciri-ciri seperti di atas, anda boleh membuat bacaan lanjut mengenai topik ini. Kata carian yang boleh membantu adalah seperti tactile stimulation, tactile dysfunction, hypersensitive to touch, hyposensitive, tactile sensitivity, sensory processing disorder.
Syukuri pemberiannya dan ketahuilah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Jangan panik. Bantulah anak anda.


Artikel ditulis oleh
Maisa Ishak
.