Selamat datang


Blog ini adalah ruang untuk penulis berkongsi sebarang maklumat, tips dan info berkenaan topik keibubapaan.

Saat hadirnya janin ke dalam rahim seorang wanita, sehingga lahirnya ke dunia ini bermulalah episod pasangan suami isteri itu sebagai ibu dan bapa.
Dari penjagaan diri dan rohani ketika mengandung dan melahirkan sehinggalah kepada makanan, pakaian serta ilmu yang diberikan ibubapa kepada si anak selepas lahir,
semua itu adalah dari satu ruang lingkup yang sama. Tanggungjawab dari Allah untuk dua insan bertuah yang diberi peluang untuk bergelar ibu dan bapa.

Orang lihat mudah, tapi sebenarnya tidak.
Sering tersungkur dan tersadung.
Rasa kecewa dengan diri.
Namun bangkitlah duhai ibu, sedarlah wahai bapa.
Kerana di mata anak-anak, kita adalah insan terhebat!



-Maisa Ishak-
Didikan Terbaik Bermula Dari Rumah

Friday, September 16, 2016

Bila Allah Jentik Hati Kita..

Assalamualaikum.. buat pembaca yang budiman semua..

Sedikit coretan tentang pengalaman AidilAdha kami tahun ini 2016, yang tidak seperti yang dirancang.


Lebih kurang 2 tahun lepas, kami telah diuji. Ujian yang pada kami dah cukup berat. Walaupun ada orang lain yang diuji lebih berat dan teruk lagi dari kami.

Alhamdulillah, berkat kasih sayang Allah dan doa rakan-rakan serta ahli keluarga, kami berjaya melaluinya dan bangkit meneruskan hidup dengan sebaiknya sehingga hari ini.

Tahun ini, 2016.
Sehari sebelum AidilAdha.
Ketika umat Islam menanti tibanya waktu Wukuf.
Di mana langit terbuka menerima apa saja jenis doa.
Allah hadirkan hanya sedikit.
Ya, hanya secebis sahaja dari kenangan dari 2 tahun lepas.


Kami suami isteri buntu, terkedu, takut.
Allahuakbar.
Hati ini menangis.

Namun Allah juga hadirkan rakan-rakan yang MashaAllah hebat pemikiran mereka.
Mereka tegur.
Mereka pesan.

Lihatlah Mai dan suami.
Allah mahu kamu berdoa sebaik-baiknya waktu ini.
Allah mahu kamu manfaatkan waktu-waktu ini sebaiknya.

Berdoa lah.
Sujud lah.
Menangis lah.
Hanya di hadapan Allah.

Allah Maha Mendengar.



Salam Sayang,
Maisa Ishak
Tarbiyah dari Anak Kecil


Friday, August 19, 2016

Betulkah Allah Kasih?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Sungguh Allah benar-benar kasih dan sayang pada kita.
Cara Allah sampaikan sayangNya berbeza untuk setiap orang.
Tak Sama.
Cuma kita.
Mampu ke Faham dan Rasai Kasih SayangNya itu?


Saya ni, passion sungguh pada 2 perkara ini, Jika diberi waktu yang lama dalam dua bidang ini. Memang saya boleh tak ingat dunia.. depan laptop je la kerjanya..

1. Bidang programming. (Alhamdulillah belajar dan bekerja dahulu dalam bidang kecintaan ini)
2. Bidang Parenting, terutamanya Pendidikan Awal Anak. (Alhamdulillah diberi peluang bergelar ibu dan diberi anak-anak yang pelbagai karakter untuk dipelajari)


Nikmat mana lagi yang saya dustai?
Allahuakbar,

Ingat lagi artikel saya yang lepas mengenai DIY-File-On-The-Go. File ini sesuai juga untuk ibubapa yang struggle untuk mengelakkan gajet daripada anak-anak.

Saya tak salahkan ibubapa yang beri gajet.
Saya tahu, setiap orang cabarannya berbeza.

Ada yang belum sampai ilmunya.
Ada yang tidak dapat pasangan yang boleh bekerjasama.
Ada yang tidak dapat kawal anak-anak dan gajet ketika di rumah orang atau saudara.
Dan bermacam-macam lagi...


Apa pun cabarannya, saya KASIHAN satu ja..
ANAK-ANAK.
Saya rasa ibubapa ini pun begitu juga, rasa bersalah tapi beri juga..
Dah firm dah tapi depan keluarga lain, terpaksa tahan hati.

Bab ini memang saya tak sampai hati.

Maka malam ni gigih bantu seorang ibu cari printable aktiviti yang sesuai untuk anak-anaknya.
Mudah-mudahan sampai kasih sayang Allah ini kepadanya. Dan disalurkan khas untuk anak-anaknya yang tercinta.



Nanti saya sambung post berkenaan DIY-File-On-The-Go untuk rakan saya ini. Tengah kerah idea ni. :)

Maisa Ishak
Didikan Terbaik Adalah dari Rumah.

Tuesday, August 16, 2016

KONSEP RUANG DAN TEMPAT: Pengenalan

"TRIANGLE!"

.

Biasanya selepas kita dengar atau baca perkataan ini, automatik kita dapat menggambarkan bentuk segitiga.

.

.
Apa itu spatial thinking??
===================

Kebolehan menggambarkan objek atau bentuk di dalam fikiran kita.

~Spatial mengikut kamus bermaksud ruang.
Ia berkaitan dengan ruang dan hubungkait di antara objek-objek di dalamnya.~

.

Perhatikan situasi ini:

  • Arkitek yang ingin mencipta lakaran dan senibina bangunan.


  • Jurutera yang bakal merekacipta sesuatu objek yang boleh melipat kain.


  • Jurutera komputer yang boleh mereka aplikasi permainan di telefon pintar.

  • Pakar kimia yang mampu membayangkan DNA molekul yang berpintal secara maya.


Ini adalah di antara pekerjaan yang memerlukan kebolehan visual yang tinggi.

.

Kita boleh melakukan stimulasi awal kepada anak-anak dengan mendedahkan dengan permainan atau aktiviti yang bersesuaian.

.

Untuk apa?

.

Anak yang mempunyai spatial thinking yang tinggi mempunyai kemahiran manipulatif (terutamanya dalam bidang sains dan matematik) yang kuat seawal usia.

.

Penting sangatkah kemahiran manipulatif ini?

.

Ya. Penting.

.

Anak yang mempunyai kemahiran manipulatif yang tinggi kebiasaannya mendapat pakej ini bersama:

  • Kefahaman yang tinggi tentang sesuatu masalah
  • Kebolehan menyelesaikan masalah


.

Topik ini luas sebenarnya, saya pun tidak puas membacanya.
InsyaAllah semoga sedikit info ini dapat dijadikan panduan untuk pembaca sekalian.



Maisa Ishak
Didikan Terbaik Adalah Dari Rumah

Konsep Ruang dan Tempat (Spatial Concept)



Post ini merupakan kesinambungan dari hasil tulisan dan bacaan saya yang pernah dikongsikan di page Didik Anak Jadi Hebat. Namun ada sedikit perubahan serta penambahan. Al maklum la, proses pembelajaran ini berterusan. Bukan hanya pada anak-anak, mak-mak juga perlu belajar. Mungkin kurang pada waktu itu, maka saya tambah atau tukar mengikut informasi terbaru yang saya peroleh.

Saya kongsikan artikel-artikel berkaitan Konsep Ruang dan Tempat bagi memudahkan pembaca blog ini.

Apa itu Konsep Ruang dan Tempat?

Mental Rotation

Aktiviti yang boleh dilakukan untuk merangsang kebolehan berkaitan konsep ini.
Rangsang Daya Fikir.



Rujukan penulis:
http://www.parentingscience.com/spatial-intelligence.html
http://www.fabbs.org/fabbs-foundation/education-resources/science-communications/the-benefits-of-spatial-thinking/
http://www.parentingscience.com/spatial-skills.html




Maisa Ishak
Didikan Terbaik Adalah Dari Rumah

Monday, August 15, 2016

KONSEP RUANG DAN TEMPAT: Rangsang Anak Berfikir

MANFAATKAN AKTIVITI HARIAN DENGAN MENGAJAK ANAK BERFIKIR TENTANG KONSEP RUANG DAN TEMPAT (SPATIAL CONCEPT)
==================================


Di dalam review satu kajian tentang spatial skills pada anak kecil, pakar psikologi Nora Newcombe dan Andrea Fricke (2010) mengingatkan penjaga (ibubapa dan pengasuh), bahawa konsep ruang dan tempat ini sangat berkait rapat dengan aktiviti seharian walau di mana pun kita.

Kita boleh merangsang pemikiran anak-anak, dan memberi lebih motivasi untuk mereka berfikir dengan mangajukan soalan berkaitan ruang kepada mereka.

Contoh soalan:

Abang rasa, muatkah semua pakaian ini di dalam satu beg sahaja?

Cadar mana satu ya yang sesuai dengan katil ini?

Cuba Adik lihat susunan lego ini, kita perlu tambah apa lagi supaya dia lebih stabil?

Jika ibu potong kain ini begini, bentuk apa yang kita akan dapat?





Senang kan? Hanya bermodal idea kreatif ibu ayah untuk melahirkan anak cerdas dan kreatif.


Gambar: dari google.

Maisa Ishak
Didikan Terbaik adalah Dari Rumah


Tuesday, June 28, 2016

DIY File-On-The-Go

Alhamdulillah

Diberi kesempatan masa untuk Ramadhan kali ini. Ramadhan semakin meninggalkan kita, dan bermakna musim cuti panjang semakin hampir.

Tahun ini diberi rezeki untuk pulang ke kampung lebih lama.

Anak-anak semakin bertambah. Alhamdulillah sudah 4 orang yang pintar dan soleh InsyaAllah.

Semalaman tidak dapat tidur memikirkan (dan google) apa aktiviti yang sesuai dibawa untuk anak-anak. Saya tidak risaukan sekiranya balik ke kampung suami, kerana di kampung biasanya anak-anak banyak aktiviti. Anak-anak biasanya akan bosan ketika di 'kampung bandar', di rumah keluarga saya kerana hanya indoor aktiviti sahaja yang boleh dilakukan. ;)

Akhirnya saya mendapat idea untuk siapkan satu file yang berisi pelbagai aktiviti untuk anak-anak pelbagai peringkat usia (1-6 tahun).

Di sini saya kongsikan aktiviti beserta link untuk anda rujuk sekiranya anda ingin membuatnya nanti.

Aktiviti yang terdapat di dalam file ini:


  1. Mengecam huruf 
  2. Memadankan bentuk yang sama (printable aktiviti 1 dan 2 boleh didapati di sini)
  3. Dr Seuss Hat Matching game (printable boleh didapati di sini)
  4. Mini Road Map (printable boleh didapati di sini)
  5. Popsicle pattern (contoh pattern download di sini
  6. Play dough Mat (printable boleh didapati di sini)




Note: 28/6/2016 saya masih belum puas mencari aktiviti untuk anak-anak. Nanti saya sambung ya!


Salam Ramadhan!


Maisa Ishak
Didikan Terbaik adalah dari Rumah

Wednesday, June 15, 2016

Binatang dalam Al-Quran: Unta

Subhanallah.

Alhamdulillah di atas ilham yang diberikan hari ini.

Hari ini selesai membacakan buku Ziyad and the Tiger kepada anak-anak. Hanya 4 muka surat pertama sahaja.

Mengenai unta.

Kemudian saya hentikan sesi 'Read-Aloud'.

Buat dua sesi. Pertama untuk anak sulung selepas sahur, dan untuk anak-anak yang lain di siang hari.



Idea menarik ini dilanjutkan ketika selesai sesi dengan anak-anak kedua dan ketiga siang tadi.

Selepas sesi membaca di hentikan, saya gantikan dengan sesi bercerita secara gamble.. terjah.. atau bahasa pasar ikut dan ;)

Anak-anak teruja. Apa yang mama mahu buat?


Di tangan ada pen dan kertas, bersama handphone untuk aktiviti spontan yang terfikir dek akal kecil saya.

Saya ajak anak melukis unta dan ceritakan serba sedikit mengenai anatomi unta. Saya gunakan hp untuk google ringkas cara lukis dan info ringkas mengenai unta. (Saya tidak pandai lukis, jadi perlu google tutorial. ;))

Kemudian langsung terfikir untuk membuat buku ringkas mengenai unta. Anak-anak boleh rujuk kemudian.

Jadi post ini bertujuan untuk rujukan ibubapa lain sekiranya ingin jadikan bahan ajaran untuk anak anda.

15 June 2016

1. Tulisan tangan 'camel'

2. Tulisan tangan unta dalam bahasa Arab 'jamal'

3. Ayat berkaitan serta terjemahan: Surah Al-Ghashiyah ayat 17 (saya buat dalam .doc dan print)
    Note: Refer website ini untuk terjemahan

4. Gambar (real picture di sini)

Projek ini saya buat berdikit-dikit. Ini sahaja untuk hari ini. Saya akan tambah point-point lain di hari lain.

Jangan lupa follow post ini ya!

Monday, March 21, 2016

Aktiviti ketika Hujan

Alhamdulillah hari ini, dapat meluangkan masa bermain dengan anak-anak walaupun sebentar.
Kebetulan kelas probiotik habis seperti yang dirancang, lebih kurang jam 2.30 petang,

Selepas Asar, anak-anak berehat, bersantai sambil bermain LEGO. Hujan lebat di luar. Saya terus teringat tentang kelas SCUA Method bersama Puan Yulia Yusar semalam.

Masya Allah, peluang besar di hadapan saya. Mengapa saya perlu lepaskan begitu sahaja? Haniy pun sedang lena tidur ketika itu. Terus saya ajak Anak Solehah Amna dan Anak Soleh Luqmanulhakim bermain hujan. Pada mulanya mereka terkejut. Terpinga-pinga. Begitu juga selepas saya bawa mereka ke tengah laman. Tidak tahu ekspresi untuk diluahkan barangkali. Selepas hampir 15 minit baru nampak keriangan pada wajah anak-anak.

Terus saya cipta dialog TEKNIK ALAM.

Mama: Along dan angah suka tak main hujan?
Anak-anak: Suka!!
Mama: Siapa yang turunkun hujan ya?
Anak-anak: Allah!!
Mama: Hebatkan Allah?
Anak-anak: Hebat!!
Mama: Tahu tak dalam Al-Quran ada cerita tentang hujan? Banyak cerita tentang hujan yang Allah beritahu kita. Nanti lepas kita main hujan mama tunjukkan satu ayat, ye?
Anak-anak: Yeaaa!!

Lebih kurang jam 6petang, sambil tidurkan Haniy dan anak-anak sedang mewarna. Saya cadangkan Luqman untuk melukis gambar menceritakan pengalaman mereka bermain hujan.

Ini gambarnya;





Menarik.
Jelas penceritaan tentang pengalaman mereka.
Alhamdulillah untuk ilham yang Kau anugerahkan hari ini.


Maisa Ishak
Didikan Terbaik adalah Dari Rumah


Monday, January 25, 2016

Pentingkah Merangsang Deria Sentuhan Anak-Anak?

Assalamualaikum

Hari ini, anak keempat saya, Haniy, Alhamdulillah sudah 51 hari. Memandangkan hari ini suami bercuti, saya dapat sedikit masa terluang untuk bermain dengan anak-anak.



Berus ini saya beli memang bertujuan untuk merangsang deria sentuh anak, seperti pesanan Dr Azura ketika di Kursus Keibubapaan Nury yang pernah kami hadiri tahun lepas (2015).

Ketika itu, pengetahuan saya berkenaan kepentingan rangsangan daya sentuhan amat sikit. Hanya asasnya sahaja, ditolak tambah atas faktor otak yang perlu digilap-gilap selalu agar kekal maklumat dalamnya, maka hampir terlupa bahawa topik ini Dr Azura pernah sentuh ketika di kelas dahulu.

Dipendekkan cerita, ketika saya memberus tapak kaki dan tapak tangan kesemua anak-anak saya, reaksi anak ketiga saya Naufal tidak seperti abang dan kakaknya. Naufal tidak geli ketika diberus, hanya gelak kerana seronok melihat abang dan kakaknya ketawa mengekek. Dicuba berkali-kali juga sama, cuma setelah beberapa cubaan dari saya dan suami, kami perasan Naufal hanya geli ketika kami menggunakan jari dan menekan kuat tapak kaki dan tangannya.

Dalam kes ini Haniy tidak boleh dibandingkan kerana deria-deria bayi belum cukup matang dan perlu dirangsang terlebih dahulu

Saya mula pelik dan di fikiran penuh pelbagai persoalan dan pertanyaan. Maka disebabkan itu, artikel ini dihasilkan. Kita perlu memahami apa masalah yang akan anak-anak kita hadapi supaya kita dapat tahu tujuan sebarang aktiviti rangsangan yang akan kita lakukan nanti.

Ini adalah hasil bacaan dan pemahaman saya pada artikel asal di link ini.

Rangsangan terhadap deria sentuhan dinamakan 'tactile stimulation'.
Ketidakupayaan yang berkaitan dengan deria ini dinamakan 'Tactile Dysfunction', yang kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak yang didiagnosis sebagai 'Sensory Processing Disorder (SPD)'.

Apa itu 'Tactile Dysfunction'?
Deria Sentuhan yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Ia boleh jadi terlalu sensitif terhadap sentuhan (hypersensitif) atau kurang sensitif terhadap sentuhan (hyposensitif)

Hypersensitif
-keadaan di mana anak terlalu sensitif terhadap sentuhan, waima dengan sentuhan lembut.

Ciri-ciri kanak-kanak hypersensitif

  • mengelak untuk bersentuhan dengan orang lain (bersalaman, memeluk, mencium)
  • tiada 'eye-contact'. 
  • kadang kala tidak selesa dengan sesetengah jenis pakaian (jeans, topi, baju yang ketat)
  • aktiviti harian seperti menyikat rambut dan menggosok gigi kerana aktiviti ini boleh merangsang hypersensitiviti
  • cerewet dengan makanan tertentu kerana struktur dan rasa yang terdapat pada makanan tersebut.
Hyposensitif- keadaan di mana anak kekurangan sensitiviti terhadap sentuhan.- mereka tidak mampu mengesan situasi yang berbahaya kepada diri mereka.Contohnya: perubahan suhu seperti terlalu sejuk atau terlalu panas, melukakan tangan tanpa rasa sakit.
Ciri-ciri kanak-kanak hyposensitif
  • tingkahlaku yang kasar/ agresif ketika berinteraksi dengan rakan sebaya
  • memeluk dengan kuat
  • menghantuk kepala ke dinding
  • tidak sedar keadaan yang berbahaya kepada diri sendiri

Saya semakin jelas dengan tujuan saya membuat aktiviti ini terhadap bayi saya. Untuk anakanda ketiga, saya masih perlu bacaan lanjut untuk itu. Saya berharap sedikit sebanyak artikel ini dapat membantu ibubapa mengenalpasti masalah anak masing-masing.
Sekiranya tingkahlaku anak anda mempunyai ciri-ciri seperti di atas, anda boleh membuat bacaan lanjut mengenai topik ini. Kata carian yang boleh membantu adalah seperti tactile stimulation, tactile dysfunction, hypersensitive to touch, hyposensitive, tactile sensitivity, sensory processing disorder.
Syukuri pemberiannya dan ketahuilah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Jangan panik. Bantulah anak anda.


Artikel ditulis oleh
Maisa Ishak
.