Selamat datang


Blog ini adalah ruang untuk penulis berkongsi sebarang maklumat, tips dan info berkenaan topik keibubapaan.

Saat hadirnya janin ke dalam rahim seorang wanita, sehingga lahirnya ke dunia ini bermulalah episod pasangan suami isteri itu sebagai ibu dan bapa.
Dari penjagaan diri dan rohani ketika mengandung dan melahirkan sehinggalah kepada makanan, pakaian serta ilmu yang diberikan ibubapa kepada si anak selepas lahir,
semua itu adalah dari satu ruang lingkup yang sama. Tanggungjawab dari Allah untuk dua insan bertuah yang diberi peluang untuk bergelar ibu dan bapa.

Orang lihat mudah, tapi sebenarnya tidak.
Sering tersungkur dan tersadung.
Rasa kecewa dengan diri.
Namun bangkitlah duhai ibu, sedarlah wahai bapa.
Kerana di mata anak-anak, kita adalah insan terhebat!



-Maisa Ishak-
Didikan Terbaik Bermula Dari Rumah

Friday, November 20, 2015

Tips agar Anak Menjulur dan Merangkak dengan Lebih Lama

Bayi biasanya mula memusingkan badannya (meniarap) sekitar umur 3 bulan.
Namun ada bayi yang mampu memusingkan badannya seawal 2 bulan bergantung kepada galakan yang diberi oleh kedua ibubapa mereka.

Kemudian, setelah berjaya meniarap dalam masa yang lama, bayi anda akan bergerak ke hadapan. Ini dinamakan menjulur. Bayi seterusnya akan mengangkat punggung dan badannya dan bergerak ke hadapan. Perkembangan ini dinamakan merangkak.


Pernah tak ibubapa sekalian berhadapan dengan bayi yang tidak bersemangat untuk bergerak ke hadapan? Anak-anak hanya menjulur dan merangkak dalam beberapa ketika kemudian hanya kekal pada kedudukan yang selesa dan tidak bergerak lagi?

Biasanya bayi ketika ini tidak mempunyai motivasi untuk bergerak ke hadapan.

Bagaimana ibubapa mampu merangsang perkembangan anak ini agar lebih cekap menjulur atau merangkak?

Entri kali ini saya ingin berkongsi tips yang saya gunakan sepanjang membesarkan tiga anak syurga saya.

Sejak anak pertama, kaedah yang sama saya gunakan untuk menggalakkan anak untuk menjulur dan merangkak.

BOLA.
Ya, kami belikan bola untuk mereka.

Dan bola yang sama masih ada kami gunakan untuk anak-anak seterusnya, insyaAllah anak yang keempat ini juga nanti.

Bola yang kami belikan ini kecil sahaja, tapi berat. Boleh dibuka-buka dan dileraikan untuk permainan peringkat umur yang lain. (permainan jenis stacking)

Anak-anak akan teruja dengan bola, kerana bola tidak kekal setempat.
Anak-anak akan tercabar untuk mendapatkan bola, kerana ia akan bergerak sekiranya ditolak.
Bola yang kami gunakan ini juga mempunyai warna-warna yang terang serta berwarna-warni.

Cuma saya lebih suka sekiranya ada tambahan bunyi pada bola tersebut bagi menarik perhatian anak untuk terus bermain dan mengejar.

Senang kan?




Anda ingin dapatkan bola untuk anak anda?

Klik sini untuk lebih info: http://on.fb.me/1l936Ae


Apa yang menarik tentang bola ini?
  • Bola ini mempunyai warna-warna yang terang
  • Mempunyai 2 design luaran yang boleh diubah-ubah (nombor/ huruf)
  • Material daripada polyster
  • Boleh dibasuh
  • Size yang tidak terlalu besar untuk anak, namun tidak terlalu kecik untuk mereka masukkan ke dalam mulut. (12cm x 12cm x 12cm)
  • Mempunyai bunyi apabila digoncang/digerakkan
  • Harga yang mampu milik. RM25

Menarik, kan?


~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula dari Rumah

Wednesday, June 3, 2015

Tips Mengajar Anak menggunakan Kad Imbasan

Kad Imbasan


Apa kebaikan menggunakan kaedah kad imbasan?
Tujuan utama adalah supaya membantu meningkatkan keupayaan penglihatan anak. Sekiranya penglihatan anak semakin mantap dari sehari ke sehari menggunakan kaedah ini, perkembangan anak akan bercambah ke bahagian intelek. Di mana bonus pada anak anda kerana dapat meningkatkan intelek mereka.


Namun begitu, sekiranya tidak kena gayanya permainan kad imbasan ini tidak menarik perhatian anak, menyebabkan ibubapa tertekan dan kecewa seterusnya menyebabkan permainan yang sepatutnya menggembirakan menjadi seperti paksaan. Ibubapa akan memanggil-manggil, bahkan terjerint-jerit agar anak melihat kad imbasan. Anak pula akan mencari permainan baru yang lebih menggembirakannya.

Saya akui, saya pernah lalui situasi di atas pada anak pertama. Maka saya hentikan kaedah ini untuk anak kedua dan ketiga, sehinggalah saya terjumpa buku Glenn Doman di Big Bad Wolf dan membacanya. Di tambah lagi, saya bertemu kelompok rakan-rakan maya yang mengikuti kursus yang menggunakan kaedah Doman ini iaitu Kursus Ibubapa Professional dan Anak Cemerlang Nury. Setelah saya dan suami mengikuti kursus tersebut dan membaca buku untuk maklumat lebih jelas, saya mengaplikasikan kesemua langkah-langkah yang disarankan. Ajaibnya, ketiga-tiga anak menanti-nanti saat permainan ini. Mereka begitu teruja! Di sini saya kongsikan beberapa tips sekiranya anda ingin bermain kad imbasan dengan anak anda.

SUASANA

Pastikan keadaan sekitar tenang, atau dengan tahap kebisingan yang minima. Pencahayaan dan pengudaraan yang secukupnya juga perlu ada bagi memastikan anak dapat melihat dengan jelas kad imbasan.

EMOSI

Sila batalkan sesi sekiranya ANDA atau ANAK berada dalam keadaan tertekan atau penat.
Sila tamatkan sesi SEBELUM anak anda menunjukkan tanda-tanda untuk menamatkan sesi.

SAIZ KAD

Sediakan kad yang cukup besar sesuai dengan umurnya. Saiz tulisan yang sesuai untuk setiap umur anak adalah sekitar 4" hingga 5" dan diameter yang sesuai untuk gambar ialah 6".

MASA

Tayangkan kad imbasan sekitar 5-10 saat sahaja untuk setiap sesi. Untuk mencari 5-10 saat terbaik anak anda tidak sukar. Anda boleh pilih ketika anak baru bangun tidur, selepas mandi atau sebelum tidur. Cuma pilih saat ketika faktor EMOSI adalah paling baik. Jangan khuatir, otak anak mampu merakam kad yang anda paparkan walaupun dalam beberapa saat. Jangan pandang rendah keupayaan anak.

KUANTITI

Singkatkan 5-10 saat itu? Maka minimakan kad yang perlu ditayangkan untuk setiap sesi. Glenn Doman sarankan sekitar 5 kad untuk setiap sesi. Selepas 5 hari tambah 1 kad yang baru dan buang 1 kad lama. Begitulah kitarannya sehingga anda boleh tayangkan kesemua kad yang anda ada.

KEKERAPAN

Namun anda boleh tingkatkan kekerapaan sesi, 3 hingga 5 sesi sehari.



Selamat Mencuba. Jangan lupa kongsikan pengalaman anda di ruangan komen ini. Mungkin ada teknik menarik yang saya boleh cuba untuk mantapkan lagi sesi ini.



~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula dari Rumah


Kenali Gaya Didikan Terhadap Anak

Nota: Artikel ini berkait dengan artikel sebelum ini (rujuk link ini), di mana anda boleh menilai corak didikan anda dengan menjawab beberapa soalan.

Rujukan: Mommy Rescue Guide "TANTRUM" by Joni Levine, M.Ed.

Seorang Psychologist, Diana Baumrind telah mengenalpasti 3 style asas parenting. Kesemua style ini melibatkan tahap keseimbangan kawalan di antara hubungan ibubapa dan anak di mana ia mampu mempengaruhi kelakuan dan perkembangan anak-anak.

Jawapan anda banyak A?

Permissive Parents

        Ibubapa jenis ini memberikan kebebasan dalam kebanyakan perkara kepada anak-anak mereka. Mereka tidak meletakkan had/limitasi yang sepatutnya dan seringkali tidak konsisten dalam melaksanakan had serta peraturan yang mereka telah tetapkan. Ibubapa jenis ini seringkali membenarkan anak-anak membuat keputusan sendiri dan berharap anak-anak mereka boleh mengatur kelakuan mereka dengan sendiri. Mereka juga sering menggunakan kaedah pemberian mainan dan hadiah kepada anak-anak sebagai imbuhan untuk mengajar anak berkelakuan baik. Ibubapa jenis ini sangat memanjakan anak mereka, dan seringkali dilihat melayan anak seakan-akan kawan dan bukannya ibubapa.

        Anak-anak yang dididik dengan didikan sebegini kebiasaannya kurang berdisiplin, kadangkala mempunyai kemahiran sosial yang rendah serta berasa kurang selamat dan kurang keyakinan kerana kurangnya kawalan dan had dari ibubapa mereka.

Jawapan anda banyak B?

Authoritarian Parents

        Ibubapa jenis ini pula menunjukkan yang mereka mempunyai sepenuh kuasa untuk mengawal anak-anak. Mereka mengharapkan anak-anak yang patuh dan tidak bersoal-jawab dalam sebarang arahan dan permintaan mereka. Biasanya mereka menetapkan limit dan peraturan yang ketat kepada anak-anak dan jarang menunjukkan sayang mereka melalui tingkahlaku. Anak-anak tidak boleh menyuarakan pendapat dan tidak mempunyai banyak pilihan dalam sesetengah perkara. Anak-anak cenderung untuk meluahkan kemarahan mereka dengan tantrum.

        Hasil dari didikan sebegini, ada pro dan kontra nya. Ada anak-anak yang berjaya dan patuh. Ada yang terlalu agresif di luar rumah sebagai bangkangan ke atas kawalan ketat di rumah. Sesetengahnya ada yang mempunyai sifat penakut dan pemalu yang keterlaluan apabila bergaul dengan orang lain. Ada juga yang mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah kerana kurangnya kebebasan dalam membuat pilihan hidup serta tidak diberi peluang untuk berdikari.

Jawapan anda banyak C?

Authoritative Parents

        Ibubapa jenis ini berasaskan demokratik dan 'child-centric approach', di mana mereka masih memegang kuasa dalam membuat kebanyakan keputusan namun sentiasa melibatkan anak-anak dalam setiap keputusan yang diambil. Pendapat dan keputusan anak-anak diambil-kira dan mereka juga menggalakkan anak-anak berdikari dalam sesetengah perkara. Mereka menetapkan peraturan dan limit di dalam kebanyakan hal, dan sekiranya anak-anak melanggar peraturan dan limit tersebut mereka mengatasi dengan disiplin. Tegas namun berhemah. Didikan sebegini adalah terbaik di antara 3 jenis parenting yang dibincangkan di sini.

       Anak-anak hasil dari didikan jenis ini mempunyai tahap keyakinan yang tinggi, kawalan emosi yang baik dan dapat membina kemahiran sosial yang baik ketika di luar.


Nota: Rujukan buku yang saya ambil ini mungkin agak ketinggalan, kerana saya telah menjumpai satu artikel lain di website, di mana sehingga kini telah ada 8 jenis gaya didikan (parenting -style). Saya akan kupaskan gaya keibubapaan yang lain di artikel akan datang.



~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula dari Rumah

Tuesday, April 7, 2015

Nak kenal gaya anda mendidik anak?




Rujukan: Mommy's Guide to TANTRUM (soalan telah diolah mengikut kesesuaian penulis blog)


~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula dari Rumah

Keupayaan Anak Berjalan: Jangan Ambil Mudah!

Reference: How Smart Is Your Baby? By Glenn Doman and Janet Doman

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh penulis, terdapat 4 peringkat perkembangan pergerakan kanak-kanak untuk membolehkannya belajar untuk berjalan. Ia tidak boleh disingkirkan atau dilangkau. Semua kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat ini, cuma cepat atau lambat sahaja yang membezakan setiap kanak-kanak.

Peringkat 1 bermula ketika lahir lagi iaitu pergerakan tanpa mobiliti, di mana bayi mampu menggerakkan kaki, tangan dan badan tetapi tidak mampu bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Peringkat 2 bermula apabila bayi belajar untuk menggerakkan kaki dan tangannya ke sesuatu arah dengan keadaan perut menekan lantai. Kita panggilnya sebagai meniarap (crawling).

Peringkat 3 ialah apabila bayi belajar untuk melawan graviti dan bangun dengan menggunakan kaki dan tangannya, kemudian bergerak ke serata tempat. Kita panggilnya merangkak (creeping).

Peringkat 4 dan terakhir ialah di mana anak anda belajar untuk berdiri dengan kakinya dan berjalan.

Berdasarkan keempat-empat peringkat di atas, duduk bukanlah peringkat penting yang membolehkan anak anda berjalan. Jadi jangan risau sekiranya anak anda tidak mampu duduk lagi walaupun sudah pandai merangkak. Anda patut RISAU sekiranya anak anda terus memapah (berdiri) selepas meniarap dan tidak merangkak.

Kenapa kita perlu RISAU? Menurut penulis, peringkat-peringkat ini sekiranya tidak dipenuhi akan membuktikan 2 perkara.

Pertama.
Sekiranya kanak-kanak yang sihat tertinggal satu atau lebih peringkat ini, kanak-kanak itu mungkin tidak normal atau tidak akan berjalan sehingga mereka diberi peluang untuk melengkapkan peringkat yang tertinggal itu.

Kedua.
Sekiranya mana-mana peringkat ini tidak tertinggal sepenuhnya, tetapi tidak lengkap pembelajarannya. Contohnya, bayi sudah mula berjalan sebelum merangkak dengan sempurna. Ada kemungkinan kanak-kanak tersebut akan mengalami kesan-kesan seperti tahap koordinasi yang lemah, kurang fokus, hyperaktif, sukar menggunakan tangan kanan atau tangan kiri sepenuhnya dan mengalami masalah pembelajaran terutamanya membaca dan menulis.


Peringkat seperti meniarap dan merangkak adalah penting bukan sahaja untuk keupayaan anak anda berjalan tetapi ia adalah untuk keseluruhan program di dalam otaknya.

Jadi, jangan ambil mudah sekiranya anak-anak anda tidak merangkak atau meniarap ya!


~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula Dari Rumah

Monday, March 16, 2015

Stimulasi Awal. Berkesankah?

Rujukan: How Smart Is Your Baby? Oleh Glenn Doman and Janet Doman

Keluarga Doman adalah pengasas kepada sebuah institusi yang membantu kanak-kanak istimewa yang kebanyakan mengalami kecederaan otak. (The Institute for the Achievement of Physical Excellence). Kanak-kanak yang keluar dari institusi ini mampu untuk menjadi seperti kanak-kanak normal.

Di dalam buku yang saya sedang baca ini ada menceritakan satu contoh kes. Seorang kanak-kanak yang menjalani rawatan di sana, mengalami kecederaan otak. Ketika sesi pembelajaran berlangsung ibu bapa kanak-kanak tersebut turut membawa  adiknya yang baru lahir untuk sama-sama di dalam program pemulihan tersebut.

Ketika si abang bermula dengan program berkaitan saraf otak (neurological), bayi itu baru lahir dan si ibu akan memastikan si adik berada bersama-sama dengan si abang dalam setiap sesi, dan melakukan setiap perkara yang si abang yang istimewa ini lakukan.

Jika si abang sedang meniarap, si adik juga ditiarapkan bersama si abang. Maka si adik telah diberi peluang untuk belajar meniarap dan otaknya juga telah diberi stimulasi awal untuk itu. Bagi bayi seusia dengannya, menjadi kebiasaan bagi kita untuk membiarkan mereka belajar sesuatu hanya ketika dia sudah bersedia. Maksud saya, bayi akan meniarap hanya selepas dia belajar dengan sendiri bagaimana untuk memusingkan dirinya sendiri (yang biasanya bermula ketika mereka berusia 2bulan dan ke atas).

Ketika si ibu mula mengajar si abang membaca, si adik duduk di sebelah. Kerana si abang yang mempunyai masalah penglihatan, perkataan yang ditulis adalah sangat besar. Setiap perkataan yang si abang nampak, si adik turut nampak. Hasilnya visual si adik telah diberi peluang untuk berkembang dengan lebih baik dan cepat. Ketika bayi itu belum setahun, dia sudah mampu membezakan beberapa perkataan.

Penulis buku ini turut menyamakan bayi baru lahir dengan kanak-kanak yang kecederaan otak. Menurutnya bayi baru lahir mempunyai saraf-saraf otak yang belum matang.


Saya menyokong pendapat ini, kerana sekiranya saya menggalakkan perkembangan yang bertujuan ini (development on purpose),

  • saya dapat mendorong anak-anak syurga saya memanfaatkan tahun-tahun awal otak mereka berkembang
  • saya juga dapat membantu mengatasi sebarang masalah neurological yang mereka mungkin ada sekiranya saya biarkan mereka membesar dan belajar dengan peluang yang ada (development by chance). InsyaAllah.



~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula dari Rumah