Selamat datang


Blog ini adalah ruang untuk penulis berkongsi sebarang maklumat, tips dan info berkenaan topik keibubapaan.

Saat hadirnya janin ke dalam rahim seorang wanita, sehingga lahirnya ke dunia ini bermulalah episod pasangan suami isteri itu sebagai ibu dan bapa.
Dari penjagaan diri dan rohani ketika mengandung dan melahirkan sehinggalah kepada makanan, pakaian serta ilmu yang diberikan ibubapa kepada si anak selepas lahir,
semua itu adalah dari satu ruang lingkup yang sama. Tanggungjawab dari Allah untuk dua insan bertuah yang diberi peluang untuk bergelar ibu dan bapa.

Orang lihat mudah, tapi sebenarnya tidak.
Sering tersungkur dan tersadung.
Rasa kecewa dengan diri.
Namun bangkitlah duhai ibu, sedarlah wahai bapa.
Kerana di mata anak-anak, kita adalah insan terhebat!



-Maisa Ishak-
Didikan Terbaik Bermula Dari Rumah

Wednesday, June 3, 2015

Kenali Gaya Didikan Terhadap Anak

Nota: Artikel ini berkait dengan artikel sebelum ini (rujuk link ini), di mana anda boleh menilai corak didikan anda dengan menjawab beberapa soalan.

Rujukan: Mommy Rescue Guide "TANTRUM" by Joni Levine, M.Ed.

Seorang Psychologist, Diana Baumrind telah mengenalpasti 3 style asas parenting. Kesemua style ini melibatkan tahap keseimbangan kawalan di antara hubungan ibubapa dan anak di mana ia mampu mempengaruhi kelakuan dan perkembangan anak-anak.

Jawapan anda banyak A?

Permissive Parents

        Ibubapa jenis ini memberikan kebebasan dalam kebanyakan perkara kepada anak-anak mereka. Mereka tidak meletakkan had/limitasi yang sepatutnya dan seringkali tidak konsisten dalam melaksanakan had serta peraturan yang mereka telah tetapkan. Ibubapa jenis ini seringkali membenarkan anak-anak membuat keputusan sendiri dan berharap anak-anak mereka boleh mengatur kelakuan mereka dengan sendiri. Mereka juga sering menggunakan kaedah pemberian mainan dan hadiah kepada anak-anak sebagai imbuhan untuk mengajar anak berkelakuan baik. Ibubapa jenis ini sangat memanjakan anak mereka, dan seringkali dilihat melayan anak seakan-akan kawan dan bukannya ibubapa.

        Anak-anak yang dididik dengan didikan sebegini kebiasaannya kurang berdisiplin, kadangkala mempunyai kemahiran sosial yang rendah serta berasa kurang selamat dan kurang keyakinan kerana kurangnya kawalan dan had dari ibubapa mereka.

Jawapan anda banyak B?

Authoritarian Parents

        Ibubapa jenis ini pula menunjukkan yang mereka mempunyai sepenuh kuasa untuk mengawal anak-anak. Mereka mengharapkan anak-anak yang patuh dan tidak bersoal-jawab dalam sebarang arahan dan permintaan mereka. Biasanya mereka menetapkan limit dan peraturan yang ketat kepada anak-anak dan jarang menunjukkan sayang mereka melalui tingkahlaku. Anak-anak tidak boleh menyuarakan pendapat dan tidak mempunyai banyak pilihan dalam sesetengah perkara. Anak-anak cenderung untuk meluahkan kemarahan mereka dengan tantrum.

        Hasil dari didikan sebegini, ada pro dan kontra nya. Ada anak-anak yang berjaya dan patuh. Ada yang terlalu agresif di luar rumah sebagai bangkangan ke atas kawalan ketat di rumah. Sesetengahnya ada yang mempunyai sifat penakut dan pemalu yang keterlaluan apabila bergaul dengan orang lain. Ada juga yang mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah kerana kurangnya kebebasan dalam membuat pilihan hidup serta tidak diberi peluang untuk berdikari.

Jawapan anda banyak C?

Authoritative Parents

        Ibubapa jenis ini berasaskan demokratik dan 'child-centric approach', di mana mereka masih memegang kuasa dalam membuat kebanyakan keputusan namun sentiasa melibatkan anak-anak dalam setiap keputusan yang diambil. Pendapat dan keputusan anak-anak diambil-kira dan mereka juga menggalakkan anak-anak berdikari dalam sesetengah perkara. Mereka menetapkan peraturan dan limit di dalam kebanyakan hal, dan sekiranya anak-anak melanggar peraturan dan limit tersebut mereka mengatasi dengan disiplin. Tegas namun berhemah. Didikan sebegini adalah terbaik di antara 3 jenis parenting yang dibincangkan di sini.

       Anak-anak hasil dari didikan jenis ini mempunyai tahap keyakinan yang tinggi, kawalan emosi yang baik dan dapat membina kemahiran sosial yang baik ketika di luar.


Nota: Rujukan buku yang saya ambil ini mungkin agak ketinggalan, kerana saya telah menjumpai satu artikel lain di website, di mana sehingga kini telah ada 8 jenis gaya didikan (parenting -style). Saya akan kupaskan gaya keibubapaan yang lain di artikel akan datang.



~Maisa Ishak~
Didikan Terbaik Bermula dari Rumah

1 comment: